KITA berpantang
dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor
hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu. Hakikatnya,
amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah.
Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa
40-an.
Tabiat
pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika
dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “…
makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga
kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai
mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya
melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal. Sebenarnya,
menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah
pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib
zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’. Mengambil makanan dalam kuantiti
banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan
sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam
jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan
pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan
kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal. Nabi Muhammad ada
menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti
makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih
mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses
pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika
Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda
bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia
mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!” Talbiinah
ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan
tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai
sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi
pencernaan. Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu
mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang
mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh
peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana
hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya: “Suatu
hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru
sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah
suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya. “Baginda
berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit. “Lalu Ali berhenti
memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada
mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai
bagimu!” Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar
tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan
atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi
mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru
pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis
sisa penyakit dari dalam perut dan badan. Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan
Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat
menguatkan tubuh. Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak
sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik
mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak
membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan
makanan bersifat panas dengan sejuk. Dari segi komposisi makanan, baginda tidak
pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau
antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin
serentak. Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat
cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak. Rasulullah tidak mengambil
makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman,
makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan
kesihatan. Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman
berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa
tiruan dan sintetik.
Rasulullah
gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda
suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan. Mengenai madu, Nabi
mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu
mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu dicampurkan dengan air
dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem
pencernaan. Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan
kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam
posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan
menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan. Postur badan penting
dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda
melarangmakan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak
makan sambil bersandar.”
Baginda juga
melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda
mempunyai disiplin khusus dari segi minuman. Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w,
makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu
kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik
untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai
aktiviti berat atau makan, kemudian minum. Rasulullah s.a.w mempunyai petua
unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah
minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan
lebih menyihatkan.” Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan
menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah
menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika
minum ditemui dalam hadis bermaksud: “Jika seseorang di antara kalian minum
maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah
direnggangkannya dari bibir.” Dan, pasti yang paling penting dan mungkin
dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca
Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia
banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar
Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela
makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis
bermaksud: “Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika
berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.” Justeru, semua
orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan
amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan
menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan
at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa
dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan
sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”